DASAR KESELAMATAN ICT
MAJLIS PERBANDARAN KULIM

PENGENALAN

Selaras dengan perubahan teknologi yang berlaku setiap hari, Majlis Perbandaran Kulim meletakkan ICT sebagai satu keutamaan di dalam menyediakan perkhidmatan berkuali terhadap rakyat. Oleh itu, satu dasar sebagai garis panduan yang boleh membantu dan membimbing kakitangan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas serta program yang melibatkan ICT amat perlu bagi melancarkan pengurusan kerja harian dan bagi mengelakkan insiden-insiden ICT yang boleh menyebabkan kepada kerosakan serta kehilangan maklumat dan juga perkakasan.

Selaras dengan hasrat MPKK untuk mencapai Visi dan Misinya sistem penyampaian yang diamalkan haruslah berteraskan ICT dan memenuhi kehendak stakeholders dan pelanggan. Berdasarkan kepentingan di atas, pengurusan MPKK telah mengeluarkan dokumen ini bagi memastikan objektif pengkomputeran ini tercapai. Dokumen ini mengandungi beberapa pernyataan dasar mengikut aspek-aspek penting dalam melindungi aset ICT di MPKK. Ia menerangkan peraturan yang perlu dipatuhi oleh mereka yang mencapai teknologi maklumat dan data di MPKK.

Tujuan utama dokumen ini ialah untuk memaklumkan kepada personel MPKK tentang tanggungjawab dan peranan dalam melindungi aset-aset ICT.


  1. PERNYATAAN DASAR, OBJEKTIF, SKOP DAN PRINSIP KESELAMATAN ICT

2.1 Pernyataan Dasar Keselamatan ICT

Dasar Keselamatan ICT MPKK adalah untuk melindungi aset ICT dengan meminimumkan kesan insiden keselamatan. Ini adalah bertujuan untuk menjamin kesinambungan urusan dengan menekankan aspek kepenggunaan aset ICT serta prosedur keselamatan yang perlu diikuti seperti yang telah ditetapkan.

2.2 Objektif

Dasar Keselamatan ICT dibentuk bertujuan untuk :-

  1. Menjamin semua aset ICT (termasuk maklumat elektronik dan bukan elektronik, perisian, data, rangkaian data dan peralatan) dan pengguna, peraturan, tanggungjawab serta kemudahan ICT yang terdapat di MPKK adalah dilindungi sepenuhnya daripada kemusnahan, kehilangan, disalahgunakan atau penyelewengan.
  2. Memastikan segala perkhidmatan akan berjalan dengan lancar dan berterusan.
  3. Melindungi kepentingan mereka yang bergantung pada teknologi maklumat, daripada kesan kegagalan ICT dari segi kerahsiaan, integriti, kebolehsediaan dan ‘tidak boleh disangkal’.
  4. Membantu kakitangan MPKK menggunakan kaedah yang sistematik dan seragam dalam melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang melibatkan ICT.
  5. Mencegah salahguna dan kecurian aset ICT Jabatan.

2.3 Skop

Dasar ini merangkumi peralatan ICT serta semua bentuk maklumat elektronik yang bertujuan untuk menjamin kerahsiaan dan integriti maklumat tersebut serta kesahihan pengguna dan ketersediaan kepada semua pengguna yang dibenarkan.

Dasar ini adalah terpakai oleh semua pengguna di MPKK termasuk kakitangan, pembekal dan pakar runding yang mengurus, menyelenggara, memproses, mencapai, muat turun, muat naik, menyedia, berkongsi, menyimpan dan menggunakan aset ICT MPKK.

2.4 Prinsip-prinsip

MPKK menerimapakai prinsip keselamatan ICT yang berikut:

  1. Capaian Atas Dasar Perlu Mengetahui
    Capaian terhadap penggunaan aset ICT hanya diberikan untuk tujuan spesifik dan dihadkan kepada pengguna tertentu atas dasar “perlu mengetahui” sahaja. Ini bermakna capaian hanya akan diberikan sekiranya peranan atau fungsi pengguna memerlukan maklumat tersebut. Pertimbangan untuk capaian adalah berdasarkan kategori maklumat seperti mana yang dinyatakan di dalam dokumen “Arahan Keselamatan”.
  2. Hak Capaian Minimum
    Hak capaian kepada pengguna hanya diberi pada tahap aset yang paling minimum iaitu untuk membaca dan/atau melihat sahaja. Kelulusan khas adalah diperlukan untuk membolehkan pengguna mewujud, menyimpan, mengemas kini, mengubah atau membatalkan sesuatu data atau maklumat.
  3. Akauntabiliti
    Semua pengguna adalah dipertanggungjawabkan ke atas semua tindakannya terhadap aset ICT MPKK.
  4. Pengasingan
    Tugas mewujud, memadam, kemas kini, mengubah dan mengesahkan data perlu diasingkan bagi mengelakkan daripada capaian yang tidak dibenarkan. Pengasingan juga merangkumi tindakan memisahkan antara kumpulan operasi dan rangkaian.
  5. Pengauditan
    Tujuan aktiviti ini ialah untuk mengenal pasti insiden keselamatan atau mengenal pasti keadaan yang mengancam keselamatan. Dengan itu, aset ICT seperti komputer, pelayan, router, firewall dan rangkaian hendaklah menyelenggarakan jejak-jejak audit.
  6. Pemulihan
    Pemulihan sistem amat perlu untuk memastikan kebolehsediaan dan kebolehcapaian. Objektif utama adalah untuk meminimumkan sebarang gangguan atau kerugian akibat daripada ketidaksediaan. Pemulihan boleh dilakukan melalui Backup dan peraturan pemulihan atau suatu Pelan Pemulihan Bencana dan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan.
  7. Pematuhan
    Tujuan utama ialah untuk menghindar, mengesan, melengah dan bertindakbalas terhadap sebarang perlanggaran Dasar Keselamatan ICT MPKK.
  8. Saling Bergantung
    Langkah-langkah keselamatan ICT yang berkesan memerlukan pematuhan kepada semua prinsip-prinsip di atas. Setiap prinsip adalah saling lengkap melengkapi antara satu dengan lain. Dengan itu, tindakan mempelbagaikan pendekatan dalam menyusun dan mencorak sebanyak mungkin mekanisma keselamatan, dapat menjamin keselamatan yang maksimum.

  1. PENGURUSAN KESELAMATAN ICT

3.1 Organisasi/Struktur Keselamatan ICT
Penglibatan pengurusan atasan adalah penting dalam merancang, menentu hala tuju, memantau keberkesanan dan membudayakan program keselamatan ICT. Pelaksanaan dasar ini akan dijalankan oleh Yang DiPertua MPKK dengan dibantu oleh Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) yang diketuai oleh Tuan Setiausaha dan dianggotai oleh Ketua Bahagian Pengurusan Maklumat selaku Pegawai Keselamatan ICT (ICTSO) serta wakil-wakil Jabatan.

3.2 Pengurusan Risiko
MPKK melalui ICTSO akan melaksanakan penilaian risiko dari semasa ke semasa ke atas aset ICT jabatan bertujuan untuk memastikan ancaman, kelemahan dan risiko di MPKK berada di tahap yang paling minimum.

3.3 Pengurusan Maklumat Sensitif
Pengurusan maklumat sensitif di MPKK hendaklah mematuhi peraturan- peraturan yang telah ditetapkan di dalam Arahan Keselamatan. Maklumat sensitif yang dikirim secara elektronik hendaklah menggunakan sistem penyulitan yang diluluskan

3.4 Pengurusan Virus
Memasang antivirus, mengemas kini versi antivirus dan melaksanakan aktiviti imbasan virus ke atas aset ICT yang berkaitan secara berterusan.

3.5 Pengurusan Kata Laluan
Pengurusan, pemilihan dan penggunaan kata laluan perlu mengikut panduan yang ditetapkan oleh MyMIS atau lain-lain amalan terbaik. Kata laluan hendaklah dilindungi dan tidak boleh dikongsi. Pengguna hendaklah mengubah katalaluan bagi setiap 6 bulan untuk mengelak katalaluan ini dikesan dan digunakan untuk menceroboh.

3.6 Pengurusan Capaian Internet
Penggunaan internet hendaklah dipantau secara berterusan supaya bahan atau laman web yang sesuai sahaja diakses. Dasar ini juga meliputi aktiviti muat turun (download), penggunaan internet untuk tugas rasmi dan menapis laman web yang tidak sesuai.

3.7 Pengurusan Mel Elektronik (E-mel)
Penggunaan e-mel hendaklah dipantau secara berterusan bagi memenuhi keperluan etika penggunaan, langkah-langkah perlindungan dan penguatkuasaan yang ditetapkan oleh JPICT, agar penggunaan e-mel dapat dikawal dan tahap keselamatan sistem komunikasi dokumen rasmi kerajaan terjamin.

3.8 Keselamatan Perkakasan dan Perisian
Melindungi semua perkakasan dan perisian dari sebarang ancaman, kelemahan dan risiko. JPICT perlu memantau penggunaannya bagi mengelakkan penyalahgunaan. JPICT perlu memastikan bahawa perisian yang digunakan adalah tulen dan berlesen.

3.9 Keselamatan Komunikasi
Penghantaran dan penerimaan maklumat mestilah selamat dan terjamin dari segi integriti, kerahsiaan dan kesahihannya. JPICT perlu mengawal sebarang aktiviti komunikasi.

3.10 Keselamatan Fizikal
Premis ICT perlu dilindungi dari sebarang bentuk ancaman seperti pencerobohan, kebakaran dan bencana alam. Sebarang pengubahsuaian terhadap premis aset ICT perlu dirujuk kepada JPICT untuk kelulusan.

3.11 Keselamatan Dokumen Dan Media
Semua dokumen dan media hendaklah diberi perlindungan keselamatan yang secukupnya. Dokumen dan media mesti diklasifikasikan mengikut keperluan, kepentingan dan tahap keselamatan. Sistem pengurusan dokumen dan media perlu diwujudkan bagi menerima, memproses, menyimpan, menghantar dan melupus.

3.12 Keselamatan Pangkalan Data
Pangkalan data perlu dilindungi daripada capaian tanpa kebenaran dan semua bentuk kemusnahan. Semua capaian ke pangkalan data perlu mendapat kebenaran dari ICTSO.

3.13 Pelan Kesinambungan Perkhidmatan
Perkhidmatan perlu diteruskan walaupun berlaku sebarang bentuk kegagalan sistem dan kemusnahan. Oleh itu, MPKK perlu mewujudkan pelan kesinambungan perkhidmatan dan diuji secara berkala.

3.14 Pengurusan Telekomunikasi
Pengguna yang ingin membuat capaian kepada aset ICT secara telekomunikasi perlu mendapat kelulusan dari ICTSO. Perkara utama yang perlu dipastikan ialah persekitaran talian pengguna adalah selamat daripada sebarang ancaman, kelemahan dan risiko.

3.15 Pengurusan Outsourcing
Projek ICT boleh diuruskan oleh pihak ketiga sekiranya diperlukan dan telah mendapat kelulusan. Pihak ketiga termasuk juruperunding dan pembekal terikat dengan perjanjian untuk memastikan integriti dan kerahsiaan maklumat Kebocoran maklumat rahsia rasmi boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

3.16 Kesedaran Keselamatan ICT
Semua personel dan pengguna hendaklah dididik menerima dan melaksanakan peraturan keselamatan ICT sebagai sebahagian dari kewajipan dalam perkhidmatan. Program kesedaran keselamatan ICT hendaklah diwujud dan dilaksanakan di MPKK.

3.17 Pelaporan Insiden Keselamatan ICT
Sebarang insiden keselamatan mestilah dilaporkan kepada GCERT MAMPU. Prosedur operasi standard perlu disediakan oleh MPKK dan diletakkan di bawah tanggungjawab Ketua Bahagian Pengurusan Maklumat dan ICTSO. Tindakan selanjutnya akan diputuskan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Maklumat.

3.17 Pengendalian Perubahan
a) Penyerahan Tugas dan Tanggungjawab
Penyerahan tugas dan tanggungjawab hendaklah dilaksanakan secara rasmi apabila berlaku perubahan personel berkaitan dengan ICT.
b) Perubahan Konfigurasi Sistem ICT
Sebarang bentuk perubahan konfigurasi sistem yang melibatkan aset ICT jabatan mestilah direkod dan dikemaskinikan.


  1. PRIVASI

4.1 Privasi Anda

Halaman ini menerangkan dasar privasi yang merangkumi penggunaan dan perlindungan maklumat yang dikemukakan oleh pengunjung.

Sekiranya anda ingin mendaftar dan membuat transaksi atau menghantar e-mel yang mengandungi maklumat peribadi, maklumat ini mungkin akan dikongsi bersama dengan agensi awam lain untuk membantu penyediaan perkhidmatan yang lebih berkesan dan efektif. Contohnya seperti di dalam menyelesaikan aduan yang memerlukan maklum balas dari agensi-agensi lain.

  • Maklumat yang Dikumpul

Tiada maklumat peribadi akan dikumpul semasa anda melayari Portal Majlis Perbandaran Kulim kecuali maklumat yang dikemukakan oleh anda melalui pendaftaran (nama dan email) yang merupakan bahagian yang dilindungi dalam Portal ini.

Anda mempunyai hak untuk memadam maklumat peribadi anda pada bila-bila masa dengan menekan butang 'Padam Akaun'.


  1. PERUNDANGAN

5.1 Penguatkuasaan

Semua pengguna dikehendaki memahami dan mematuhi semua peraturan- peraturan yang terkandung dalam Dasar Keselamatan ICT MPK.

  • Pelanggaran Dasar Keselamatan ICT

Pelanggaran Dasar Keselamatan ICT akan dirujuk dan dilapor kepada ICTSO. Perkara ini boleh dirujuk kepada Lembaga Tatatertib dan sekiranya melibatkan unsur jenayah dilapor kepada pihak berkuasa.


  1. PENYELENGGARAAN DOKUMEN

6.1 Pengendalian Perubahan Dokumen

Dasar keselamatan ICT tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa selaras dengan perubahan teknologi, aplikasi, prosedur, perundangan dan kepentingan sosial. Dasar ini hendaklah dibaca bersama dengan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan standard, garis panduan dan langkah keselamatan ICT Kerajaan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

  • Pemberitahuan Perubahan

Sebarang perubahan terhadap dasar keselamatan ICT hendaklah dimaklumkan kepada semua personel dan pengguna.

  • Cadangan Pindaan

Sebarang cadangan pindaan berkaitan dengan dasar ini hendaklah dikemukakan kepada JPICT.

Nama   : Jawatankuasa Pemandu ICT MPKK

Alamat    : Majlis Perbandaran Kulim, 09000 Kulim, Kedah Darul Aman.
Emel     : ict@mpkk.gov.my

Penyemakan Semula

Dasar Keselamatan ICT tertakluk kepada semakan dan pindaan. Penyemakan semula hendaklah dilaksanakan oleh JPICT dari semasa ke semasa selaras dengan perubahan dasar Kerajaan,

Disediakan Oleh:

Bahagian Pengurusan Maklumat
Majlis Perbandaran Kulim